Tengku Amir Shah, Afzaa Fadini Disatu Dalam Istiadat Persandingan Penuh Adat

KLANG: Dalam suasana penuh keagungan dan tradisi, Balairung Seri Istana Alam Shah malam tadi menjadi saksi kepada penyatuan dua jiwa diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pasangannya, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz dalam istiadat persandingan.

Majlis bersejarah itu dimulakan tepat pukul 7.30 malam dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan Tengku Permaisuri Norashikin yang mencemar duli menyaksikan persandingan putera kesayangan baginda.

Pasangan pengantin diraja tiba pada 7.45 malam, diiringi kerabat diraja Selangor, melangkah masuk ke Balairung Seri dengan penuh anggun dan berwibawa.

Istiadat persandingan dimulakan dengan acara merenjis air mawar dan menabur bunga rampai sebagai simbol restu dan doa oleh Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin, diikuti oleh bonda Tengku Amir, Puan Nurlisa Idris Abdullah serta kerabat diraja dan keluarga Afzaa Fadini.

Bacaan doa oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, mengiringi majlis, memohon keberkatan dan kebahagiaan buat pasangan diraja.

Busana pengantin yang berinspirasikan kain telepuk gading dan sulaman tangan halus menyerlahkan keindahan warisan Melayu, manakala dekorasi Balairung Seri yang dihiasi bunga segar dan lampu kristal menambahkan seri majlis.

Alunan muzik tradisional mengiringi setiap detik, mencipta suasana yang bukan sahaja megah tetapi juga penuh rasa kasih dan hormat.

Majlis itu bukan sekadar penyatuan dua insan tetapi juga lambang keluhuran adat dan kesinambungan institusi diraja Selangor.

Ia memperlihatkan bagaimana tradisi dan kemodenan berpadu indah dalam satu perayaan cinta yang diraikan oleh seluruh negeri.

Dengan istiadat ini, Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini melangkah ke fasa baru kehidupan, membawa harapan dan doa rakyat Selangor agar cinta mereka terus mekar dalam lindungan rahmat dan kebijaksanaan.

Anda Mungkin Berminat