Tengku Amir Shah Diijab Kabul Di Istana Alam Shah

PETALING JAYA: Dalam suasana penuh adat dan kemuliaan, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selamat diijab kabul dengan suri hati Baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz, dalam satu Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada pagi Khamis.

Menurut Selangor Royal Office, istiadat penuh bersejarah itu disempurnakan oleh Mufti Negeri Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, yang bertindak sebagai wali hakim dan jurunikah.

Lafaz akad nikah dilafazkan sekali dengan jelas dan sempurna tepat pukul 10.08 pagi, menandakan permulaan baharu dalam kehidupan berumahtangga pasangan diraja tersebut.

Sebagai simbolik kepada detik bersejarah itu, 11 das tembakan meriam bergema di perkarangan istana, mengiringi suasana penuh khidmat dan kebesaran.

Majlis turut disaksikan oleh dua saksi utama iaitu Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Putra Alhaj, yang menyempurnakan aspek penting dalam adat pernikahan diraja.

“Majlis yang berlangsung penuh tertib dan mengikut adat istana itu diadakan secara tertutup dengan kehadiran Kerabat Diraja Selangor, keluarga pihak pengantin perempuan serta sahabat handai terdekat,” menurut hantaran itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menyaksikan istiadat pernikahan tersebut, menambah seri dan keberkatan kepada majlis yang penuh bermakna itu.

Anda Mungkin Berminat