AMPANG: DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menghadiri sambutan Hari Haiwan Sedunia 2025 yang berlangsung meriah di SPCA Selangor, Ampang Jaya.
Kehadiran Baginda menyerikan lagi acara yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan dan kebajikan haiwan peliharaan.
Keberangkatan tiba Baginda disambut penuh hormat oleh Orang Besar Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman serta Pengerusi SPCA Selangor, Christine Chin.
Program itu dianjurkan oleh SPCA Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), menampilkan pelbagai aktiviti interaktif dan pameran berkaitan kebajikan haiwan.
“Baginda berkenan menyaksikan penyampaian sumbangan dan turut melawat ke reruai pameran dan juga ruang penjagaan haiwan peliharaan,” menurut Selangor Royal Office.
Acara tersebut turut memperlihatkan komitmen pelbagai pihak dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan haiwan termasuk penyertaan sukarelawan, aktivis kebajikan haiwan dan keluarga yang hadir bersama anak-anak untuk mengenali lebih dekat dunia haiwan peliharaan.
“Program bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan dan kebajikan haiwan peliharaan,” kata kenyataan itu.
Sambutan Hari Haiwan Sedunia kali ini bukan sahaja menjadi medan pendidikan awam tetapi juga simbol kasih sayang dan tanggungjawab bersama terhadap makhluk hidup yang sering menjadi sebahagian daripada keluarga.








