BANGI: Dalam suasana penuh gemilang dan berprestij, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Universiti Islam Selangor (UIS) sempena Konvokesyen ke-27 universiti itu.
Majlis pemasyhuran disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam istiadat diraja yang berlangsung di Kampus UIS, Bandar Seri Putra.
Pelantikan Tengku Permaisuri sebagai Canselor diyakini mampu memperkukuh profil UIS di peringkat nasional dan antarabangsa serta melonjak semangat warga universiti ke arah kecemerlangan akademik dan penglibatan masyarakat.
Turut dimasyhurkan dalam majlis tersebut ialah Datuk Setia Salehuddin Saidin, Pengerusi MAIS sebagai Pro-Canselor I dan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, Ahli Dewan Diraja Selangor, sebagai Pro-Canselor II.
UIS kini tampil sebagai universiti penuh sejak 2022 dan bertekad menjadi universiti wakaf pertama di Malaysia, melakar masa depan pendidikan Islam yang moden dan inklusif dalam era digital.