PETALING JAYA: Walaupun kini beralih parti, kedudukan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak terjejas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, peranan dan sumbangan Tengku Zafrul masih diperlukan dalam menjayakan agenda pelaburan negara yang sedang giat dipacu oleh kerajaan.
“Tengku Zafrul seorang menteri yang menjalankan tugas dengan sangat baik. Pelaburan kita mencecah ratusan bilion ringgit, banyak juga dikendalikan dengan usaha beliau bersama MITI, MATRADE dan kerajaan,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa keupayaan dan prestasi kerja kekal menjadi keutamaan dalam Kerajaan Perpaduan, susulan keputusan Tengku Zafrul keluar daripada UMNO untuk menyertai PKR.
Tambah beliau, belum ada sebarang perbincangan lanjut mengenai permohonan Zafrul untuk menyertai PKR kerana beliau sedang menunaikan ibadah haji.
“Kita belum bincang apa-apa pun sebab dia menunaikan haji, jadi biar dulu,” jelas Anwar ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di WTC Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa beliau menyerahkan kedudukannya dalam Kabinet kepada pertimbangan Perdana Menteri, susulan UMNO menuntut semula kuota penuh jawatan menteri dalam kerajaan Persekutuan.
Tindakan itu menyusul selepas beliau meletakkan semua jawatan dan keahlian dalam UMNO bagi menyertai PKR dan langkah itu telah disahkan sendiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Anwar menyeru semua pihak agar menghormati keputusan Tengku Zafrul dan tidak membuat pelbagai tafsiran yang boleh mencetuskan kekeliruan.
“Tengku Zafrul telah buat keputusan dan kita hormat keputusan dia,” katanya.
Jelasnya, hal berkaitan kedudukan Zafrul dalam PKR akan dibincangkan secara teliti bersama parti komponen lain dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.