Tengku Zafrul Akui UMNO Tidak Lagi Sesuai, Pilih PKR Sebagai Platform Sumbangan

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui UMNO bukan lagi wadah politik yang sesuai dengan dirinya, sambil menegaskan kesediaan untuk memberi sumbangan lebih besar melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam temu bual eksklusif bersama rancangan Berita KS, beliau berkata, keputusan itu lahir daripada kejujuran terhadap diri sendiri.

“Saya perlu jujur dengan diri saya. Saya perlu lihat parti mana yang lebih sesuai untuk saya,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan meskipun menjadi ahli UMNO sejak 1998, penglibatannya dalam parti itu hanya bermula selepas berkhidmat sebagai pegawai kepada Perdana Menteri ketika itu.

“‘Emotional attachment’ tu kurang lah,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa proses memahami hala tuju politik peribadi mengambil masa dan kini beliau sedar platform yang lebih selari dengan ‘DNA’ dirinya berada di luar UMNO.

“Semakin lama saya berada dalam UMNO, terutama Selangor, saya tak boleh menyumbang sebanyak mana yang saya mampu,” katanya.

Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu memberi sumbangan lebih bermakna menerusi PKR, berbanding peranan yang pernah dimainkan dalam UMNO.

“Saya rasa saya boleh menyumbang lebih banyak dalam platform seperti PKR dan saya harap keputusan yang saya buat adalah betul,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada sebarang masalah dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun mengakui wujud sedikit isu dengan pihak lain.

“Saya tiada sebarang isu dengan Presiden. Mungkin ada isu sikit dengan orang lain,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat