Tengku Zafrul Dilantik Pengerusi MIDA

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkuat kuasa 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun.

“Perdana Menteri bersetuju melantik Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa 3 Disember 2025 bagi tempoh dua tahun,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan MIDA sebagai agensi utama negara dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi khususnya di tengah-tengah persaingan global yang semakin sengit.

“Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Tengku Zafrul, yang sebelum ini pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan termasuk sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, membawa pengalaman luas dalam bidang kewangan serta pembangunan ekonomi.

Anda Mungkin Berminat