Tengku Zafrul Kagum Visi Jelas Thonny Chee Sebagai Pemimpin Muda Api-Api

KOTA KINABALU: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyatakan kekagumannya terhadap semangat serta kejelasan visi calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N20 Api-Api, Thonny Chee, selepas mengadakan ‘walkabout’ bersama penduduk di Kampung Air pada Selasa.

Menurut beliau, Thonny menampilkan ciri kepimpinan yang matang meskipun masih muda, selain memahami keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Saya benar-benar kagum dengan semangat dan kejelasan visi Thonny sebagai pemimpin muda.

“Dia (Thonny) tahu apa yang Api-Api perlukan, dan jelas keikhlasannya berusaha sepenuh hati untuk rakyat di sini.

“Pendekatan turun padang yang ditunjukkan Thonny membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan isu setempat, selain memastikan penduduk mendapat perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

‘Walkabout’ yang berlangsung di Kampung Air itu turut menyaksikan kehadiran penyokong yang memenuhi kawasan berkenaan, sekali gus menggambarkan sokongan padu terhadap calon muda tersebut menjelang hari pengundian.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul menyeru pengundi di Api-Api agar keluar menunaikan tanggungjawab pada 29 November bagi memilih wakil yang mampu membawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 November sebagai hari pengundian awal, manakala 29 November sebagai hari pengundian rasmi.

Untuk info, Kerusi N20 Api-Api yang mencatatkan 17,782 pengundi bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Ng Chun Sua (PIS), Ting Shu Kiong (STAR), Soh Kee Suat @ So Chee Say (PBK), Loi Kok Liang (Warisan) serta Thonny Chee (PH-PKR).

Pada PRN 2020, kerusi itu dimenangi Christina Liew Chin Jin (Warisan Plus-PKR) dengan majoriti 5,347 undi, menjadikan perebutan kali ini antara yang paling diperhatikan di Sabah.

Anda Mungkin Berminat