Tengku Zafrul kini ahli PKR

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan beliau kini menjadi anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), lapor Bernama.

Menurut Tengku Zafrul, permohonannya menyertai PKR diluluskan dua minggu lalu dan beliau kini berdaftar sebagai ahli cabang Ampang.

“Saya tidak ingat tarikh tepatnya, tetapi ia ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti dua minggu lepas,” katanya kepada media Malaysia di Jepun hari ini sempena lawatan ke Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada akan memegang sebarang jawatan dalam PKR. Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, ketika dihubungi Malaysiakini, turut mengesahkan status keanggotaan beliau.

Tengku Zafrul, yang merupakan senator sejak Mac 2020 dan dilantik semula pada Disember 2022, akan menamatkan penggalnya Disember ini. Tempoh itu tidak boleh diperbaharui, sekali gus memerlukan beliau melepaskan jawatan menteri dalam kabinet.

Pada 30 Mei lalu, beliau mengumumkan keluar daripada Umno dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, langkah yang mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet memandangkan Umno kehilangan seorang wakil.

Tindakan itu turut mengundang kritikan pemimpin Umno yang menegaskan “pemancingan” ahli sedemikian boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti dalam kerajaan perpaduan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat