PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke-13.
Tengku Zafrul dipilih secara sebulat suara pada pemilihan badan induk itu ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.
Tengku Zafrul mengisi kerusi panas itu menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan tersebut tahun lagu bagi memberi fokus terhadap tugas sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
“Ia satu penghormatan yang cukup besar dan saya akan galas amanah dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta komitmen.
“Saya percaya dengan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperkasa BAM sebagai badan sukan contoh, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memohon diberi tempoh 100 hari bagi mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh, para pemain, barisan kejurulatihan dan penaja sebelum merangka pelan strategik dan efektif untuk kemajuan sukan badminton negara.
Tengku Zafrul berkata beliau memerlukan tempoh masa itu untuk memahami dan meneliti cadangan atau isu yang membelenggu sukan badminton negara kerana percaya pendekatan berkenaan antara kunci membina perancangan yang komprehensif dan realistik.
“Saya percaya, kunci kepada perancangan jangka panjang yang berjaya ialah pelan yang komprehensif dan realistik. Selepas 100 hari, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik dan pelan tindakan untuk BAM,” ujar Tengku Zafrul.
Sementara itu, beliau juga mengumumkan Datuk V. Subramaniam dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos kekal menyandang jawatan Timbalan Presiden 1 dan Timbalan Presiden 2.
Baca juga: