Tengku Zafrul umum letak jawatan sebagai ahli UMNO, hasrat sertai PKR

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja serta keahlian dalam parti itu secara keseluruhan.

Dalam kenyataannya, beliau berkata keputusan itu bukan sesuatu yang mudah dan dibuat selepas bermuhasabah serta mengambil nasihat daripada sahabat dalam dan luar parti, termasuk Presiden UMNO sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai sejak tahun 1997 lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan niatnya untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan akan mengikuti proses permohonan secara rasmi bersama pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam parti,” tambah beliau.

Anda Mungkin Berminat