Oleh: Dr Mohd Yusri Ibrahim
ULASAN: Nama Tengku Zafrul Aziz trending sejak beberapa hari, pelbagai perspektif dilontarkan terhadap beliau.
Pada saya, sosok ini memiliki faktor wow! yang bukan calang-calang.
Antaranya kemampuan beliau berada dalam kabinet untuk tiga kerajaan berbeza secara berturut-turut.
Untuk Kerajaan Perpaduan ini saya tidak rasa beliau adalah calon menteri yang dinamakan oleh UMNO, walaupun beliau ahli dan kepimpinan UMNO.
Sebab itu sering dijadikan lelucon untuk kabinet Malaysia Madani ini UMNO ada 6+1 menteri, 1 itu adalah Zafrul.
Saya mengamati secara dekat prestasi menteri- menteri kabinet.
Zafrul adalah antara menteri yang saya klasifikasikan sebagai berprestasi tinggi.
Saya juga melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa memanfaat figura ini, sentiasa ada di mana-mana khususnya terkait ekonomi, pelaburan, lawatan ke luar negara serta lawatan delegasi luar ke Malaysia.

Figura Hebat Berbaloi
Pendeknya keberadaan beliau dalam kabinet adalah berbaloi, sebagai pembayar cukai kita tidak ralat membayar saraan kepada beliau.
Jika saya jadi PM sekalipun (mengigau di siang hari tertidur waktu azan Asar), saya juga akan melantik figura seperti Zafrul ini sebagai anggota kabinet.
Semua sudah sedia maklum bahawa sudah lama beliau tidak selesa dengan kepimpinan UMNO Selangor, sudah beberapa kali beliau suarakan isu itu.
Akibat isu tersebut, ura-ura untuk beliau tinggalkan UMNO telah lama timbul, bahkan beliau juga dikatakan telah menyuarakan hasrat tersebut kepada kepimpinan tertinggi UMNO.
Saya juga difahamkan beliau juga sudah lama menyatakan hasrat kepada kepimpinan tertinggi PKR untuk menyertai parti tersebut.
Sebab itu pengumuman beliau semalam bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Sebab itu pada saya tentang Zafrul ini topik yang lebih relevan adalah what’s next?
Pertama Anwar-Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) perlu uruskan isu ini sebaik mungkin supaya tidak diambil kesempatan oleh beberapa kerat pemimpin untuk ‘show off’ bagi memanaskan keadaan.
Mereka berdua perlu mengambil penengah paling unggul supaya pelepasan Zafrul ini dilihat cukup bermaruah dan terhormat kepada UMNO.
Lagipun tiada keperluan untuk UMNO mempertahankan Zafrul, cinta mereka telah pudar, asmara mereka sudah tiada berahi.

Utamakan Kestabilan
Pada saya keutamaan tertinggi adalah mengekalkan kestabilan kerjasama parti-parti Kerajaan Perpaduan, kerana faktor tersebut sangat penting untuk menentukan kestabilan politik Malaysia.
Kedua, lebih penting adalah peranan Zafrul selepas lantikan senator beliau tamat nanti.
Banyak ura-ura mengatakan akan ada kerusi DUN PKR di Selangor akan dikosongkan untuk membolehkan beliau bertanding dan dinamakan sebagai Menteri Besar(MB) nanti menggantikan Datuk Seri Amirudin Shari.
Ya, ini adalah nama kedua yang diura-urakan untuk ganti Amir sebagai MB Selangor, saya juga dah ura-urakan nama pertama sebelum ini iaitu Nurul Izzah.
Simpan dulu ura-ura 1 dan ura-ura 2 itu, kita bincang kemudian nanti, nama pun ura-ura.
Namun pada saya, jalan paling mudah untuk manfaatkan potensi Zafrul selepas beliau tamat senatorship nanti adalah dengan melantik beliau untuk jawatan penting bertaraf menteri.
Contohnya penasihat pelaburan PM bertaraf menteri, penasihat kewangan PM bertaraf menteri atau sebagainya.
Ini adalah salah satu pilihan yang ada untuk memanfaatkan potensi Zafrul sementara menunggu pilihan raya tiba untuk membolehkan beliau bertanding semula sama ada di peringkat persekutuan atau di peringkat Selangor.
Kita pernah ada Duta Khas PM ke Timur Tengah bertaraf menteri sebelum ini, rasanya boleh kut untuk lantik Tengku Zafrul sebagai penasihat khas PM bertaraf menteri juga selepas ini, apatah lagi sudah terbukti beliau berprestasi tinggi dan mampu menyumbang secara berbaloi.
*** Penulis adalah Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Terengganu(UMT)
Baca juga: