Tentera Darat Malaysia rampas rokok seludup hampir 2000 karton ke Indonesia

Sub Unit Formasi Divisyen Pertama Infantri dalam serbuan Rampasan Barang Bersama Tuan (RBBT) oleh pasukan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah melaksanakan rondaan di persempadanan Malaysia Indonesia pada pukul 10.30 malam pada 13 Mei 2024.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Divisyen Pertama Infantri Malaysia, semasa Sub Unit Formasi Divisyen melakukan rondaan di Pos GABMA Tebedu, didapati sebuah van jenis Toyota bernombor pendaftaran (QC 7589) sedang membawa muatan yang mencurigakan dengan plastik hitam di laluan haram dari Malaysia menuju ke Indonesia.

“Seterusnya, pasukan keselamatan telah bertindak menahan van tersebut bagi pemeriksaan dokumen dan barangan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan mendapati, van tersebut dipandu oleh seorang suspek warganegara Malaysia dengan membawa bungkusan berisi rokok untuk diseludup ke Indonesia berjumlah 30 kotak besar (satu kotak berisi 50 karton) atau 1,500 karton rokok pelbagai jenama,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada 14 Mei 2024, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tebedu dan kesemua barangan yang dirampas telah diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan.

Sehubungan itu, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis berkata, Panglima 1 Divisyen merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota TDM yang berjaya menahan dan menyekat penyeludupan barang-barang ke negara Indonesia.

“Operasi akan diteruskan dari masa ke semasa dalam tempoh 24 jam dalam membanteras penyeludupan barangan dan pencerobohan ke negara jiran,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat