Teresa bertegas tidak persoal sijil halal, harap isu reda

Oleh: Hanim Nadia

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menegaskan beliau tidak pernah mempersoalkan pensijilan halal mahupun peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung kenyataan yang dibuat sebelum ini.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pada 6 September lalu hanya untuk menyuarakan pandangan supaya pihak JAKIM mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Kenyataan dibuat sebagai respon bagi kerajaan mengkaji semula cadangan menteri. Sebagai ahli parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum.

“Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan JAKIM atau tidak menghormati agama Islam,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman pada Selasa.

Menurutnya, beliau sudah memberi kerjasama baik kepada polis yang menyiasat isu itu, malah menyokong usaha kerajaan dalam mempromosi pensijilan halal terhadap industri makanan dan minuman.

“Ketika berada dalam kerajaan Selangor sebagai Exco, saya juga mempromosikan pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008.

“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Teresa berkata, beliau tetap akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan itu namun mengharapkan semua pihak bertenang.

“Saya harap isu ini akan tenang, reda kerana sudah banyak pihak sudah menyatakan pandangan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan mewakili Teresa berkata, anak guamnya menjawab lebih 20 soalan pihak polis dalam tempoh satu jam 30 minit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anda Mungkin Berminat