Oleh: Syahirah Harish
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik permohonan maaf secara terbuka yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Terima baik, terima baik,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai permohonan maaf tersebut.
Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman, Presint 16, di sini ,hari ini.
Permohonan maaf secara terbuka daripada Najib itu dibuat semalam, dengan kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib.
Dalam kenyataan tersebut, Najib menyatakan bahawa beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, serta eksekutif dari syarikat Petrosaudi.
Permohonan maaf ini tiba beberapa hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan sama ada Najib perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Najib juga menyatakan bahawa beliau berasa amat terluka apabila mengetahui segala kecurangan yang berlaku dalam 1MDB ketika ia berada di bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sepanjang tempoh 26 bulan menjalani hukuman penjara dan dengan perkembangan-perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, Najib menyatakan beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.
Beliau turut merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh The Edge awal bulan ini yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low, serta dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid, berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.
Najib mendakwa bahawa artikel tersebut menunjukkan PetroSaudi serta Jho Low bersubahat untuk memperdaya beliau dalam isu 1MDB.
Baca juga:








