Vearich International Sdn Bhd secara rasminya telah menandatangani kontrak sebagai penaja platinum Terengganu FC bagi musim 2024/2025 dengan sumbangan tajaan bernilai RM3 juta.
Perkara ini diumumkan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian penajaan dalam satu majlis di Armada Hotel, Petaling Jaya, pada Isnin.
Perjanjian itu menyaksikan Vearich International hadir selaku penaja platinum dengan nilai tajaan wang tunai sebanyak RM3 juta selama semusim sehingga April 2025.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vearich İnternational, Datuk Abdul Khair Saad, penajaan tersebut adalah untuk tempoh satu musim sehingga April 2025.
“Pihak Vearich mengharapkan ianya mampu untuk membantu memperkukuhkan kewangan kelab ini untuk mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.
“Proposal yang kita dah dapat daripada TFC, untuk penajaan platinum sponsor berjumlah RM3 juta dalam bentuk wang tunai, dalam masa yang sama, ada jugak dalam bentuk in-kind (barangan),” katanya kepada Malaysia Bangkit.
Sebagai penaja Platinum, pihak Vearich International akan menggunakan logo produk terbaru mereka iaitu Agarbomb Performance sebagai logo promosi yang akan digunakan untuk kesemua aset pemasaran Terengganu FC.
“Ianya termasuk pada bahagian hadapan jersi rasmi Terengganu FC pada musim ini sekali gus menjawab teka-teki penyokong, jenama atau logo yang akan berada di hadapan jersi pasukan kesayangan mereka musim ini.
“Kerjasama ini akan terus terjalin erat bukan sahaja dalam bentuk penajaan tetapi juga membuka peluang dalam menjana pendapatan melalui perniagaan melalui industri bola sepak,” tambahnya.
Selain itu Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Mohd Sabri Abas, menyatakan dengan jumlah penajaan dan sokongan yang ada, pihak TFC tidak akan membiarkan kebajikan para pemain terjejas.
“Kita akan pastikan para pemain dapat menjalani latihan dan soal kebajikan lebih-lebih lagi pemberian gaji akan disempurnakan tanpa sebarang keciciran.
“Dengan jumlah tajaan yang TFC peroleh, pastinya kita mensasarkan top 3 Liga Super musim ini,” katanya.
Baca juga: