Oleh: Aliya Azmi
SUSUN atur tempat duduk bagi Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 Tahun menerima pujian ramai apabila pihak penganjur mengambil inisiatif untuk mengasingkan tempat duduk lelaki, wanita dan keluarga demi menjaga adab dan suasana harmoni sepanjang acara berlangsung.
Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 27 September ini di Zepp Kuala Lumpur itu memperkenalkan konsep tempat duduk berasingan mengikut jantina, sesuatu yang jarang dilihat dalam penganjuran konsert berskala besar.
Menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata netizen menyambut baik pendekatan tersebut yang disifatkan selari dengan mesej dakwah dan imej kumpulan nasyid berkenaan.
“Sangat menghormati cara penganjuran macam ni. Tenang nak tengok konsert bila tempat duduk pun ikut adab,” tulis seorang pengguna.
“Inilah contoh hiburan yang mendidik. Syabas Inteam!,” puji seorang lagi netizen.
Pelan tempat duduk menunjukkan kawasan dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon lelaki, zon wanita, serta zon keluarga yang dikhaskan untuk muhrim sahaja. Zon tersebut merangkumi kedua-dua tingkat atas dan bawah dewan.
Dengan tema “Cinta Ilahi, Sayang Nabi, Kasih Insani”, konsert itu dijangka menjadi antara acara kemuncak sambutan 25 tahun perjalanan seni Inteam yang dikenali menerusi lagu-lagu dakwah dan ketuhanan.
Konsert dijadualkan berlangsung pada 27 September jam 8 malam di Zepp Kuala Lumpur. Tiket mula dijual 22 Mei pada jam 3 petang di www.konsertkasihkekasih.com atau aplikasi Khair.
Baca juga: