PETALING JAYA: Dalam usaha melindungi hidupan liar dan mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya, Kementerian Kerja Raya (KKR) merancang pembinaan terowong khas di beberapa lokasi strategik yang dikenal pasti sebagai laluan migrasi utama haiwan, termasuk gajah.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan kepentingan inisiatif itu dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar.
“Antara contoh ialah pembinaan tiga terowong khas di bawah Jalan Kuala Berang – FELDA Aring, Hulu Terengganu, iaitu di Seksyen 66, 70 dan 73.
“Terowong ini direka bagi membolehkan haiwan liar selamat tanpa mengganggu aliran trafik,” katanya dalam kenyataan, susulan insiden menyedihkan melibatkan seekor anak gajah yang dilanggar di jalan raya, baru-baru ini.
Menurutnya, setiap projek jalan raya harus mengambil kira keselamatan pengguna serta hidupan liar yang bergantung pada kawasan sekitarnya.
“Setiap pembangunan jalan mesti mengambil kira keselamatan bukan sahaja pengguna tetapi juga hidupan liar.
“Terowong lintasan ini adalah antara pendekatan fizikal paling penting bagi tujuan itu,” tegas beliau.
Selain itu, katanya, projek Central Spine Road (CSR) turut merangkumi pembinaan Eco-Viaduct Sungai Yu sepanjang 900 meter yang bertindak sebagai laluan penting menghubungkan kawasan hutan yang terpisah.
Beliau berkata, beberapa terowong dan lintasan bawah tanah juga telah dibina di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak serta jajaran Taiping Selatan–Bruas di bawah projek West Coast Expressway (WCE) sebagai langkah tambahan bagi memastikan kelangsungan ekosistem semula jadi.
“Kita juga akan membuat semakan semula di semua lokasi berisiko tinggi dan mempertimbangkan penggunaan teknologi seperti sensor pergerakan haiwan,” tambahnya lagi.
Nanta menegaskan bahawa semua projek jalan perlu melalui Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dengan pelan mitigasi yang wajib dipatuhi oleh kontraktor.
“Pembangunan mampan bukan hanya tentang membina jalan tetapi memastikan kita tidak kehilangan warisan semula jadi negara dalam proses itu,” ujarnya.