Terpaksa ‘buang harga’ stok tak laku, peniaga akur hasil jualan tidak seperti dijangka

Persiapan sambutan perayaan Aidilfitri kali ini dilihat sedikit ‘tersepit’ memandangkan golongan ibu bapa turut perlu membuat persiapan kemasukan anak-anak ke sekolah sempena sesi persekolahan bermula pada awal Mac.

Dalam tempoh yang singkat itu juga, mereka perlu membuat persiapan untuk menyambut Ramadan dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri.

Situasi itu secara tidak langsung menjadi bebanan buat mereka terutama yang bekerja dalam sektor swasta.

Masakan tidak, penjawat awam menerima bantuan insentif sebanyak RM2,000 pada bulan Februari sementara bonus ‘duit raya’ RM500 sebagai persediaan hari raya.

Mengakui terkesan dengan nilai jualan yang tidak seberapa, Nur Hafizah Shukri, 31, yang mengusahakan sebuah kedai pakaian di sebuah pusat beli-belah di Alor Setar, Kedah mengakui pembeli lebih ramai ‘mencuci mata’ berbanding membeli.

Tegasnya, hasil jualan yang merosot berbanding tahun lalu membuatkan dia terpaksa berkira-kira dalam soal penyediaan hari raya.

“Sudah beberapa kali berniaga di bazar Aidilfitri, mengakui sambutan pembeli tahun ini berkurang berbanding tahun yang lalu hingga terpaksa menurunkan harga jualan di saat akhir.

“Pada awalnya saya hanya mengangap pembeli kurang membeli kerana mereka masih belum gaji, keadaan sebegitu saya anggap normal kerana kebiasaanya mereka akan ‘survey’ dahulu sebelum datang semula membeli.

“Tetapi lama-kelamaan saya melihat stok baju kami masih menimbun dan tidak terjual, lalu kami terpaksa ‘buang’ harga untuk menghabiskan stok.

“Biarpun untung cuma sedikit dan ada sesetengah baju yang tidak mendapat pulangan modal. Mereka mungkin ingin berjimat atau keadaan ekonomi yang makin mencabar,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Sementara itu, peniaga kuih raya Shazlin, 26, dan kakaknya Ameerah, 29, yang sudah menjalankan perniagaan kuih dan biskut raya sejak 2016 berkata, jualan tahun ini lebih perlahan berbanding sebelumnya.

“Mungkin antara sebab pelanggan kurang membeli biskut raya pada tahun ini adalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ada pembeli yang lebih memilih untuk membuat sendiri berbanding beli di kedai kerana ingin berjimat, saya akui harga kuih kami terpaksa naikkan kerana kos barang naik mendadak pada tahun ini,” ujarnya.

Sementara itu, seoraang pegawai bank, Haslina Sufi, 49, berkata, dia lebih memilih untuk membuat kuih raya sendiri bersama anak-anak berbanding beli di kedai kerana harga jualan kuih raya terlampau tinggi sehingga hampir mencecah ratusan ringgit sebalang.

“Dalam keadaan ekonomi tidak stabil lebih baik kami buat kuih raya kerana harga yang dijual agak mahal. Jadi saya dan anak-anak membuat keputusan untuk membuat sahaja biskut raya kerana ia lebih berbaloi dan menjimatkan, selain barang-barang membuat biskut seperti ini mudah diperoleh di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat