Seorang kerani swasta mengalami kerugian sebanyak RM109,540 selepas melabur dengan Skim Pelaburan Bitcoin USDT yang tidak wujud secara atas talian.
Ketua Polis Pahang, Komisioner Datuk Seri Yahaya Othman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat polis kontinjen berkenaan menerima laporan dari mangsa yang juga merupakan seorang ibu tunggal berusia 37 tahun.

“Mangsa telah berminat untuk menyertai skim pelaburan saham pada awal bulan Mac lalu melalui laman sosial Instagram dan membuat transaksi sebanyak 26 kali kepada 15 akaun bank yang berbeza.
“Mangsa mulai sedar dirinya telah ditipu setelah suspek meminta bayaran tambahan lain sebelum keuntungannya dapat dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Yahaya turut berkata, mangsa memperoleh sumber kewangan tersebut daripada simpanannya sendiri serta pinjaman daripada keluarga dan rakan-rakannya.
Dalam pada itu, pihak Polis Kontinjen Pahang turut menyeru orang ramai untuk berwaspada dan tidak terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang berleluasa secara atas talian.
Pihak polis turut meminta orang ramai untuk menyemak nombor telefon yang tidak dikenali melalui pautan semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi.
Baca juga: