KOTA BHARU: Lebih 1,000 orang berhimpun secara aman di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan malam tadi.
Ia bagi menuntut keadilan untuk Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abd Rahman, pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan di asrama pada tahun 2013.
Himpunan tersebut merupakan sebahagian daripada gerakan nasional “Justice for Zara”, namun penyertaan luar biasa rakyat Kelantan menandakan betapa kuatnya tuntutan agar kematian pelajar berusia 16 tahun itu disiasat semula secara telus dan menyeluruh.
Penganjuran di Kota Bharu digerakkan oleh pihak keluarga Allahyarham sendiri melalui jemputan di media sosial.
Ibu kepada Allahyarham Wan Ahmad Faris iaitu Ruhani Hussin turut hadir dan memberi ucapan bahawa walaupun sudah mencapai umur 70 tahun, beliau masih berjuang untuk anaknya selagi nyawanya dikandung badan.
“Saya harap saudara-saudari sekalian berterusan lah, bersama saya untuk menegakkan kebenaran untuk Wan Ahmad Faris,” katanya di sidang media himpunan pada Sabtu malam.
Walaupun dibuat secara ringkas dan tanpa publisiti besar-besaran, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat mencerminkan kebersamaan rakyat Kelantan dalam isu keadilan dan hak asasi.
Suasana himpunan berlangsung dalam keadaan tertib dan penuh emosi, dengan ramai peserta dilihat membawa sepanduk serta lilin sebagai simbol solidariti.
Selepas lebih sedekad tragedi, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman terus mendesak siasatan dibuka semula sehingga individu yang bertanggungjawab terhadap kematian tragis pelajar tahfiz itu dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Pada Jun 2016, Mahkamah Koroner Kota Bharu memutuskan Wan Ahmad Faris mati akibat dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.
Baca juga: