Oleh: Tyah Helmi
TINDAKAN mulia segelintir rakyat Malaysia yang membantu pemandu e-hailing Grab di Indonesia sewaktu negara itu berdepan protes besar-besaran terhadap Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) telah mencuri perhatian dan menyentuh hati ramai.
Ketika situasi di Indonesia semakin tegang susulan demonstrasi jalanan yang mendesak penggulingan pimpinan DPR, beberapa pengguna media sosial Malaysia tampil menyumbang bantuan kepada golongan pekerja barisan hadapan di sana khususnya pemandu Grab atau lebih dikenali sebagai ‘Ojol’.
Seorang pengguna akaun X, @signyam, mendedahkan bahawa platform Grab boleh membuat pesanan dan penghantaran barangan terus kepada pemandu Grab di Indonesia, sebagai tanda solidariti dan sokongan.
“Saya baru tahu yang kita sebenarnya boleh bantu pemandu Grab Indonesia yang masih bekerja di jalanan sebab Grab benarkan kita buat pesanan untuk dihantar ke negara Asia Tenggara lain,” katanya.
Manakala seorang lagi pengguna, @smin_nr, turut berkongsi bahawa dia telah menyumbang 50 pek kopi serta pelbagai barangan keperluan kepada pemandu Grab Indonesia.
“Saya dah sampai had kemampuan untuk membantu, tapi dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat ringankan beban kalian.
“Makanlah secukupnya dan terus kuat, sahabat-sahabatku di Indonesia,” katanya.
Malah, dia turut membuat pesanan ke atas beberapa alat perubatan asas dan nota panduan rawatan kecemasan, sebagai langkah berjaga-jaga untuk penunjuk perasaan yang mungkin mengalami kecederaan ringan.
Tindakan tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada warga Indonesia di media sosial.
Ini kerana, hantaran kandungan mereka dibanjiri dengan ucapan terima kasih dan doa.
Ketika mana ketegangan politik yang mencengkam, nilai kemanusiaan merentasi sempadan negara terbukti masih utuh.
Rakyat Malaysia menunjukkan bahawa dalam apa jua keadaan, semangat solidariti serantau dan keprihatinan sesama manusia tetap menjadi keutamaan.
Baca juga:








