PETALING JAYA: PAS diingatkan supaya tidak derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, apabila berhasrat mahu meneruskan himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.
Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Suhaizan Kayat turut memberi peringatan kepada PAS supaya tidak perlu mengajar Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Banyak ruang politik yang PAS boleh gunakan untuk bangunkan rakyat dan negara. Bukannya asyik nak tebuk atap sahaja (tubuh kerajaan ikut pintu belakang).
”Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari memuatkan hantaran dalam Facebook miliknya yang telah ‘mengayam betinakan’ UMNO dan ‘membiawakkan’ mereka yang menghalang UMNO berhimpun.
“Ini secara tidak langsung telah menggambarkan kekecewaan ahli Parlimen dan pimpinan PAS terhadap kebijaksanaan UMNO mengelak perangkap PAS,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, UMNO membatalkan penganjuran himpunan di pekarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin depan, bagi menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.
Ini susulan Istana Negara pada Jumaat memaklumkan supaya cadangan mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tiada hasrat untuk menyemak kembali saranan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya di Istana Kehakiman sebagai tanda solidariti terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Beliau berkata, ini kerana mereka sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Agong, mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta penjalanan Lembaga Pengampunan.