PUTRAJAYA: Tesla masih meneruskan pelaburan di Malaysia manakala pembatalan rancangan membina kilang di tiga negara adalah keputusan komersial mereka.
Memetik sumber dalaman Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) keputusan tersebut tidak menjejaskan perancangan asal Tesla dengan ibu pejabatnya masih beroperasi di Cyberjaya.
“Keputusan yang diambil mungkin mengambil kira operasi global namun ia tidak mencerminkan landskap pelaburan yang telah diusahakan oleh MITI dan agensi sejak Disember 2022,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan bahawa syarikat automotif dan tenaga bersih itu telah membatalkan rancangan membina kemudahan pembuatan kereta elektrik (EV) sama ada di Malaysia, Thailand atau Indonesia.
Memetik laporan daripada akhbar Thailand, The Nation, berdasarkan sumber kerajaan Thailand, pengeluar EV itu sebaliknya hanya akan menumpukan kepada pengukuhan ekosistem stesen pengecasan.
Tesla sebelum ini bersedia untuk melabur AS$5 bilion untuk hab pembuatan Asia Tenggara dan memilih Thailand sebagai lokasi pilihan.
Tesla kini telah memutuskan untuk membatalkan rancangan pelaburannya di Thailand selepas membubarkan pasukan eksekutifnya.
Keputusan itu adalah sebahagian daripada pembatalan pelaburan Tesla di seluruh Asia dan negara lain.