TH Nafi Dakwaan 10,000 Kekosongan Rayuan Haji 2026

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat kira-kira 10,000 kekosongan untuk rayuan menunaikan ibadah haji bagi musim haji 2026.

Dalam satu kenyataan, TH menegaskan bahawa keseluruhan kuota jemaah haji Malaysia telah pun dipenuhi dan kini berada dalam fasa terakhir proses tawaran haji, yang dilaksanakan mengikut prosedur serta kriteria ditetapkan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Maklumat rasmi berkaitan urusan haji hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi TH sahaja,” kata TH dalam kenyataan pada Rabu.

TH turut mengingatkan bahawa segala urusan berkaitan pendaftaran dan tawaran haji hendaklah dirujuk melalui laman web rasmi serta saluran komunikasi sahih bagi mengelakkan kekeliruan.

Terdahulu, media sosial digemparkan dengan dakwaan kononnya terdapat kira-kira 10,000 kekosongan haji bagi musim 2026, namun TH menegaskan maklumat tersebut tidak benar.

Anda Mungkin Berminat