TH Nafi Dakwaan Salah Faham Isu Bayaran, Kos Haji

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menafikan dakwaan tidak tepat yang tular dalam sebuah video berkaitan bayaran, kos haji dan isu penolakan tawaran haji yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, TH menjelaskan bahawa video tersebut mengandungi beberapa salah faham ketara khususnya dakwaan bahawa agensi itu mengambil keuntungan daripada bayaran haji jemaah.

Menurut TH, kos haji bagi musim 1447H/2026M ditetapkan pada RM33,300, iaitu kos sebenar yang perlu ditanggung bagi setiap jemaah tanpa sebarang unsur keuntungan kepada institusi tersebut.

Walaupun kos meningkat saban tahun, TH berkata, bantuan haji tetap diberikan kepada jemaah daripada kumpulan B40 dan M40 bagi memastikan mereka hanya membayar sebahagian kecil daripada kos sebenar.

“Bagi musim haji 1447H/2026M, bantuan haji berjumlah RM210 juta disediakan bagi memastikan jemaah B40 membayar 55 peratus lebih rendah.

“Manakala jemaah M40 menikmati 29 peratus penjimatan,” kata TH dalam satu kenyataan.

TH turut memperincikan bahawa mandat dan tanggungjawabnya ditetapkan melalui Akta Lembaga Tabung Haji 1995, yang menggariskan peranan institusi itu sebagai penyimpan dana umat Islam dan pentadbir urusan haji selaras dengan cadangan asal Profesor Ungku Aziz pada tahun 1959.

Agensi itu berharap penjelasan ini dapat meredakan kekeliruan yang timbul, selain menegaskan komitmennya untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit serta jemaah haji.

Anda Mungkin Berminat