Oleh: Tyah Helmi
PARLIMEN | Tabung Haji di era Kerajaan Madani memperkenalkan penetapan kadar simpanan minimum sebanyak RM15,000 bagi menyelesaikan isu penurunan terhadap bakal jemaah haji yang menangguhkan tawaran haji.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, didapati sebanyak 18 peratus pendeposit menangguhkan tawaran haji bagi musim 1447 hijrah dan lagi 10 peratus berbuat demikian kerana mempunyai simpanan yang tidak mencukupi, manakala 36 peratus dek kerana masalah kesihatan, 37 peratus faktor peribadi dan 17 peratus atas faktor lain-lain.
“Bagi musim haji ini, data merekodkan penurunan yang amat ketara untuk penundaan tawaran haji daripada keseluruhan jumlah tawaran haji iaitu 18 peratus sahaja berbanding 50 peratus pada musim Haji yang lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai langkah kerajaan mempermudah akses pendeposit TH menunaikan ibadah haji tanpa perlu bimbang masalah kewangan dan kesihatan, bagi memastikan pendeposit tidak ketinggalan atau menolak tawaran ibadah haji seperti musim lalu.
Sehubungan itu, katanya TH melaksanakan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang demi membantu pendeposit merancang simpanan haji secara lebih berdisiplin, selain memperkasakan pendidikan bakal jemaah dengan memanggil mereka mengikuti kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan langkah TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 dalam akaun untuk layak menerima surat tawaran haji, membantu mencatat penurunan ketara dalam kadar penangguhan tawaran ibadah itu.
“Antara usaha yang diperkenal dan telah dilaksanakan oleh termasuk penetapan kadar simpanan minimum RM15,000 untuk penerimaan tawaran haji bagi memastikan Tabung Haji dapat mengenal pasti serta menyaring bakal haji yang benar-benar mencukupi syarat istito’ah kewangan dalam tahun giliran dipilih untuk menunaikan haji,” ujarnya.
Pada masa yang sama, Marhamah turut mendedahkan terdapat lebih 53 peratus daripada keseluruhan 9.7 juta pendeposit mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 yang membuatkan TH mahu melaksanakan langkah strategik yang lebih tersusun, sistematik dan mampan demi manfaat para pendeposit.
Justeru, TH komited untuk melaksanakan inisiatif penambahbaikan baharu secara menyeluruh dan berperingkat termasuk melancarkan inisiatif simpanan sistematik jangka panjang bagi membantu pendeposit merancang perjalanan simpanan haji yang lebih disiplin dan sistematik dalam membina kesiapsiagaan menuju istito’ah.
“Tabung Haji turut memperkasakan pendidikan kepada bakal haji dengan memanggil mereka menghadiri kursus asas seawal dua tahun sebelum tahun giliran bagi membantu dalam persediaan menjaga kesihatan,” jelasnya.
Baca juga:








