PARLIMEN | Thailand dan Kemboja mahu Malaysia terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara, meskipun Malaysia tidak lagi memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tuduhan kononnya ASEAN gagal menangani isu serantau adalah tidak tepat.
Katanya, Malaysia dipilih sebagai pemudah cara kerana faktor kepercayaan, bukan semata-mata kerana kepengerusian ASEAN pada tahun lalu.
“Sekarang Filipina mengambil alih kepengerusian ASEAN tetapi kedua-dua negara masih mahu Malaysia sebagai pemudah cara.
“Mereka amat selesa dengan peranan Malaysia,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung cadangan baharu Malaysia mengenai asas dan prinsip ASEAN, selepas usaha penyelesaian konflik Thailand–Kemboja yang turut melibatkan Amerika Syarikat (AS) dilihat gagal berikutan gencatan senjata yang sering dicabul.
Dalam pada itu, Mohamad menekankan pendirian ASEAN berhubung Myanmar.
Menurutnya, ASEAN tidak mengiktiraf dua pilihan raya terdahulu di negara itu kerana tidak melibatkan semua pihak.
Malaysia, jelas beliau, menegaskan bahawa sebarang pilihan raya mesti inklusif bagi memastikan proses demokratik tidak bersifat terpilih.
Selain isu Myanmar, Mohamad turut memaklumkan bahawa Kod Tatalaku Laut China Selatan (CoC) dijangka dimuktamadkan tahun ini sebagai langkah penting menyelesaikan pertikaian di kawasan perairan tersebut.







