PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bermula tepat pukul 12.00 tengah malam ini, sebagai langkah awal ke arah kestabilan dan pemulihan serantau.
Persetujuan bersejarah itu dicapai melalui Mesyuarat Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan secara langsung di Putrajaya bersama pemimpin tertinggi kedua-dua negara.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Samdech Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
Anwar menyambut baik komitmen kedua-dua negara untuk mendahulukan perdamaian demi kepentingan serantau.
“Kita amat menghargai kesediaan Thailand dan Kemboja untuk duduk semeja dan memilih gencatan senjata tanpa syarat.
“Ini bukti bahawa diplomasi dan dialog masih menjadi kekuatan utama di rantau ini,” katanya.
Sebagai langkah susulan, satu mesyuarat tidak rasmi antara komander tentera Thailand dan Kemboja dijadualkan berlangsung pada 29 Julai, sebelum Mesyuarat Rasmi Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) yang akan dihoskan oleh Kemboja pada 4 Ogos.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, menyatakan kesediaan untuk menyelaraskan pasukan pemerhati bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar dan turut mengalu-alukan penyertaan negara anggota ASEAN lain dalam misi pemerhatian ini.
Konflik bersenjata antara kedua-dua negara tercetus pada 24 Julai lalu, dipercayai berpunca daripada letupan periuk api di kawasan sempadan yang mencederakan lima anggota tentera Thailand.
Kemboja didakwa melepaskan tembakan ke arah kedudukan tentera Thailand dalam insiden berkenaan.
Sekurang-kurangnya 18 nyawa terkorban, termasuk anggota tentera dan orang awam, manakala lebih 40 lagi dilaporkan cedera.