Oleh: Tyah Helmi
PHNOM PENH: Keadaan di sempadan Thailand-Kemboja kembali tegas dan memuncak apabila Thailand melancarkan serangan udara ke atas wilayah Kemboja pada Isnin ketika mana berlakunya beberapa pertempuran di sepanjang sempadan dua negara itu.
Menurut Jurucakap Tentera Darat Diraja Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree, sekurang-kurangnya seorang anggota tenteranya terbunuh manakala lapan lagi cedera dalam insiden pertempuran baharu yang memuncak sekitar pukul lima pagi waktu tempatan.
Beliau mendakwa, bahawa Kemboja telah mengaktifkan senjata berat, menempatkan semula unit tempur, serta menyediakan sokongan logistik yang berpotensi mencetuskan operasi ketenteraan lebih besar.
Pihaknya berkata tindakan-tindakan itu “memaksa penggunaan kuasa udara bagi menghalang dan melemahkan keupayaan tentera Kemboja”.
Difahamkan, kini kedua-dua negara saling menuduh pihak lain melanggar perjanjian gencatan senjata yang sebelum ini dipersetujui dengan usaha rundingan melibatkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh Thailand melancarkan serangan pada waktu subuh di dua kawasan berasingan setelah beberapa hari negara itu didakwa melakukan tindakan provokatif. Kemboja bagaimanapun menegaskan bahawa tenteranya tidak membalas serangan tersebut.
Bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen iaitu bapa kepada pemimpin semasa Hun Manet telah menyifatkan tindakan Thailand sebagai “agresif” dan bertujuan mencetuskan tindak balas.
Hun Sen kemudian menggesa tenteranya supaya terus berdisiplin dan berwaspada, sambil menyatakan bahawa garis merah untuk bertindak balas sudah ditetapkan, namun tidak menghuraikan lebih lanjut.
Seorang pegawai kanan wilayah di Kemboja mengesahkan bahawa tiga orang awam telah cedera parah setakat ini.
Kementerian Pertahanan Kemboja tetap menegaskan bahawa pihaknya tidak melakukan sebarang serangan balas.
Terdahulu, media melaporkan berlakunya pertikaian sempadan antara kedua-dua negara ini sebenarnya telah lama membara, dan kembali tercetus sehingga mencetuskan konflik selama lima hari pada bulan Julai lalu.
Gencatan senjata hanya dicapai selepas campur tangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Presiden Donald Trump yang turut menyaksikan pemeteraian perjanjian damai itu ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Kuala Lumpur pada Oktober lalu.
Baca juga:








