BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengesahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai situasi sempadan Thailand-Kemboja dalam satu perbualan telefon pada Jumaat.
Dalam perbualan itu, Anwar menyatakan kesediaan Malaysia untuk membantu kedua-dua pihak mencari penyelesaian terhadap pertikaian yang semakin meruncing.
“Terima kasih PM Anwar Ibrahim atas panggilan telefon petang ini (semalam) bagi membincangkan situasi sempadan Thailand-Kemboja dan menyatakan kesediaan untuk membantu kedua-dua pihak menyelesaikan perkara ini,” ciap Paetongtarn menerusi akaun rasmi X.
Beliau turut menegaskan komitmen Thailand untuk menyelesaikan isu itu secara aman melalui mekanisme dua hala yang telah sedia ada sambil mempertahankan kedaulatan negara mengikut undang-undang antarabangsa.
“Saya menegaskan komitmen Thailand untuk penyelesaian secara aman melalui mekanisme dua hala sedia ada, sambil mempertahankan kedaulatan kami selaras undang-undang antarabangsa,” katanya.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia difahamkan sedang memantau rapat perkembangan isu ini dan berusaha memastikan ketegangan tidak berlanjutan.
Sebelum itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Paetongtarn mengumumkan bahawa Thailand telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani kebimbangan keselamatan di sepanjang sempadannya dengan Kemboja.
Beliau menjelaskan bahawa pihak tentera telah diarahkan untuk menyelaras operasi dan mengekalkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengutamakan perlindungan kedaulatan negara serta memelihara hubungan antarabangsa demi menjamin keselamatan.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan, Phumtham Wechayachai, Menteri Luar, Maris Sangiampongsa, Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand, Songwit Noonpackdee, Ketua Majlis Keselamatan Negara, Chatchai Bangchuad dan Ketua Komander Tentera.