Thaipusam Lambang Kesabaran, Keharmonian Masyarakat – PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan selamat menunaikan ibadat Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia, sambil menekankan makna pengorbanan, keinsafan dan kekuatan spiritual yang terkandung dalam perayaan tersebut.

Dalam perutusan khasnya, beliau berkata, nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat Thaipusam wajar dihormati serta dihargai bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Thaipusam sarat dengan makna pengorbanan, keinsafan dan kekuatan spiritual.

“Nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat ini wajar dihormati dan dihargai bersama,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa ketertiban dan keharmonian yang terserlah setiap kali upacara keagamaan dan sambutan budaya di negara ini adalah bukti nyata bahawa hidup bersama dalam kepelbagaian bukanlah sesuatu yang asing, malah telah lama membentuk jati diri Malaysia.

“Ketertiban dan keharmonian yang kita saksikan setiap kali upacara keagamaan dan sambutan budaya di negara ini seharusnya menjadi cerminan bahawa hidup bersama dalam perbezaan bukan sesuatu yang asing tetapi realiti yang telah lama membentuk jati diri Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berharap Thaipusam bukan sahaja membawa ketenangan jiwa buat seluruh penganut Hindu tetapi juga terus menyuburkan rasa saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Semoga Thaipusam membawa ketenangan jiwa buat seluruh penganut Hindu serta terus menyuburkan rasa saling menghormati dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya.

Anda Mungkin Berminat