Threads atasi platform X di ‘smartphone’

CALIFORNIA: Satu laporan terbaharu oleh firma risikan pasaran Similarweb mendapati aplikasi media sosial Threads milik Meta kini mencatat penggunaan harian lebih tinggi berbanding X milik Elon Musk, khususnya di peranti mudah alih.

Menurut data Similarweb, sehingga 7 Januari 2026, Threads merekodkan 141.5 juta pengguna aktif harian di platform iOS dan Android selepas menunjukkan pertumbuhan berterusan sejak beberapa bulan lalu. Sebaliknya, X mencatatkan sekitar 125 juta pengguna aktif harian di peranti mudah alih.

“Walaupun X masih mendahului Threads dari segi penggunaan web, peningkatan Threads di platform mudah alih dilihat sebagai hasil trend jangka panjang, dan bukan semata-mata reaksi terhadap kontroversi terkini melibatkan X,” menurut kenyataan tersebut, seperti dipetik portal techcrunch pada Selasa.

Sebelum ini, X berdepan kritikan susulan pendedahan penggunaan kecerdasan buatan (AI) Grok untuk menghasilkan imej bogel tanpa persetujuan, termasuk melibatkan golongan bawah umur. Isu imej palsu atau deepfake itu telah mendorong beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah, melancarkan siasatan terhadap platform berkenaan.

Namun, peningkatan penggunaan Threads dipercayai dipacu oleh faktor lain seperti promosi silang melalui Facebook dan Instagram, tumpuan terhadap pencipta kandungan, serta pengenalan ciri baharu secara agresif.

Antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk komuniti berasaskan minat, penapis kandungan yang lebih baik, mesej peribadi, teks panjang, hantaran sementara dan ujian permainan.

Gabungan faktor tersebut menjadikan Threads semakin digunakan sebagai tabiat harian di peranti mudah alih. Meta sebelum ini memaklumkan bahawa Threads telah mencapai lebih 400 juta pengguna aktif bulanan pada Ogos 2025, dan sekitar 150 juta pengguna aktif harian pada Oktober tahun sama.

Walaupun Threads masih ketinggalan di platform web dengan sekitar 8.5 juta lawatan harian, X kekal kukuh dengan lebih 145 juta lawatan web sehari. Namun, jurang penggunaan mudah alih antara kedua-dua platform dilihat semakin mengecil, terutamanya di Amerika Syarikat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat