Tiada Ahli Politik Terkecuali Undang-Undang – PM

PARLIMEN | Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada ahli politik termasuk daripada parti gabungan Kerajaan Perpaduan, yang akan dikecualikan daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam skandal rasuah berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Anwar berkata, video tular mengenai isu tersebut mempunyai asas kukuh untuk disiasat dan siasatan kini sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya menonton video itu dan ia menunjukkan hujah yang kuat untuk disiasat.

“Menurut maklumat SPRM, kes ini telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata, kes berkenaan merupakan kes jenayah tanpa had masa dan proses perlu berjalan mengikut saluran yang ditetapkan.

“Ahli Parlimen Pasir Mas perlu bersabar. Setakat ini, tiga individu telah didakwa, bukan dilepaskan dan yang lain masih dalam proses semakan,” katanya.

Anwar turut menolak dakwaan kononnya kerajaan cuba melindungi mana-mana pihak di Sabah, sambil menegaskan bahawa alasan untuk meneruskan siasatan adalah kukuh dan munasabah.

Tambah beliau, dua daripada individu yang telah didakwa juga merupakan ahli parti gabungan kerajaan, sekali gus menolak tuduhan bahawa wujud campur tangan politik.

Menurut Anwar, rakaman video yang tular itu menimbulkan persoalan besar dan wajar disiasat SPRM dengan beberapa individu yang dinamakan dalam video telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Anda Mungkin Berminat