PETALING JAYA: Insiden penjaja belon, Mohamad Zaimudin Azlan yang mengalami kecederaan serius selepas pergelutan dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik perhatian ramai.
Difahamkan, beliau kini menjalani rawatan di Hospital Serdang selepas tulang belakangnya patah akibat kejadian itu.
Menurut peguam Nor Zabetha Muhammad Nor, sebarang penggunaan keganasan oleh pihak berkuasa hanya boleh diterima dalam keadaan mempertahankan diri atau alasan munasabah.
Malah, beliau menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan haruslah mematuhi garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
“Walaupun suspek dalam tahanan melakukan jenayah, ia tidak memberi hak kepada anggota penguatkuasa untuk menggunakan kekerasan.
“Undang-undang melarang tindakan sedemikian,” kata Nor Zabetha.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Zaimudin mempunyai hak untuk menuntut ganti rugi melalui tindakan sivil dan membuat laporan polis jika mengalami kecederaan akibat tindakan penguatkuasa.
Ujarnya, kes-kes terdahulu menunjukkan individu yang cedera kerana tindakan tidak wajar boleh membawa perkara ini ke mahkamah.
“Tidak kira sama ada dia mempunyai lesen atau tidak, Zaimudin boleh menuntut ganti rugi di mahkamah.
“Kekerasan fizikal tidak seharusnya menjadi kaedah dalam penguatkuasaan,” tambahnya.
Sementara itu, DBKL dalam kenyataan berkata, Zaimudin bertindak agresif selepas tiga kali diberi amaran kerana berniaga tanpa lesen di Jalan TAR.
Namun, Zaimudin menafikan tuduhan tersebut.
Nor Zabetha turut berkata, siasatan yang telus diperlukan untuk menentukan kebenaran insiden itu.
Menurutnya, keterangan daripada saksi, bukti rakaman dan dokumen berkaitan harus diambil kira oleh pihak polis.
“Biar siasatan dijalankan dan mahkamah yang menentukan kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang ada,” katanya.