Ratusan pemilik motosikal hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk menuntut 247 buah motosikal yang disita atas pelbagai kesalahan menerusi Op Motosikal yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada 16 Disember lalu.
Kira-kira pukul 11 pagi pemilik motosikal hadir bersama aksesori motosikal tampil menuntut motosikal mereka yang disita di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata, operasi tersebut berjaya mengenal pasti trend penunggang motosikal tidak memasang brek belakang.
“Apa yang kami kesan sekarang wujud trend di Kuala Lumpur apabila motosikal diubah suai tanpa brek belakang. Kebiasaan yang kita jumpa ialah akzos yang sudah diubah suai.
“Tindakan ini sangat membahayakan nyawa pengguna jalan raya dan apa yang kami lihat budaya begini semakin berkembang.
“Kita akan berusaha menangangi kes ini agar dapat dipastikan tidak lagi wujud penunggang motosikal tanpa brek belakang,” katanya dalam sidang media Op Motosikal.
Tambah beliau, pihaknya akan lebih kerap untuk melakukan operasi bagi memastikan perkara sebegini tidak berlaku.
“Ini bukan sahaja akan mengakibat kemalangan kecederaan kepada penunggang, tetapi turut melibatkan pengguna jalan raya lain.
“Pelbagai alasan diberikan mengapa brek tersebut tidak disediakan, tetapi yang pasti ia bertujuan untuk menambahkan kelajuan,” katanya.
Kesemua motosikal yang telah diubah suai akan melalui proses pemeriksaan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan tahap keselamatan motosikal layak untuk berada di atas jalan raya.
Pemilik kemudian diminta untuk menukar dan memasang semula brek dan akzos motosikal seperti yang ditetapkan peraturan jalan raya.
Untuk rekod, Op Motosikal dilakukan pada 16 Disember lalu di Jalan Tun Razak manakala seramai 107 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi yang dibuat bermula pukul 11 malam hingga 5 pagi.
Baca juga: