Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kekal kosong apabila tiada calon mengemukakan pencalonan rasmi setakat jam 9.40 pagi hari ini iaitu hari terakhir penghantaran borang.
Proses pencalonan PKR peringkat pusat yang dibuka sejak 8 Mei lalu masih belum menyaksikan sebarang pemimpin tampil mengisi borang pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu.

Beberapa nama besar seperti Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli; serta anggota Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disebut-sebut sebagai calon berpotensi, namun tiada pengesahan rasmi mengenainya setakat ini.
Situasi itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan akar umbi berhubung hala tuju kepimpinan parti menjelang pemilihan dalaman yang semakin hampir. Ahli parti kini menanti sama ada mana-mana tokoh akan tampil pada saat akhir sebelum proses pencalonan ditutup malam ini.
Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, seramai 10 calon sudah mengesahkan penyertaan, termasuk dua Menteri Besar iaitu Datuk Seri Amirudin Shari (Selangor) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), yang masing-masing mempertahankan jawatan disandang.

Turut bersaing ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad. Enam lagi calon lain ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, serta ahli Majlis Pimpinan Pusat, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian dan R Yuneswaran.
Secara keseluruhan, seramai 67 ahli PKR mengemukakan pencalonan bagi merebut tempat dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Proses pencalonan pemilihan peringkat pusat itu akan ditutup pada jam 11.59 malam ini.
Baca juga: