SELAYANG: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan dakwaan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mempunyai hala tuju dasar yang jelas, sambil menegaskan bahawa semua inisiatif utama kementerian telah dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dengan pengetahuan Perdana Menteri.
Menjawab kritikan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi podcast Yang Berhenti Menteri, Fadhlina menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.
“Tidak timbul soal kita tidak melakukan apa-apa kerana semuanya dibincangkan dalam Jemaah Menteri dan dengan pengetahuan Perdana Menteri.
“Saya fikir tidak ada satu pun yang kita terlepas daripada membentangkan soal dasar utama dan reformasi yang kita nak angkat di peringkat KPM,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2024 serta penyampaian anugerah pelajar cemerlang STPM, MUET dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu Warga Asing (SKBMW) yang berlangsung di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan dan Ketua Eksekutif MPM, Badrul Hisham Abdullah.
Dalam podcast berkenaan, Rafizi membayangkan seolah-olah KPM gagal menyusun kerangka dasar yang mantap sepanjang tempoh beliau berada dalam Kabinet.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu turut menyatakan bahawa keputusan beliau meletak jawatan adalah kerana tidak mahu terus menjadi menteri tanpa hala tuju yang jelas.