Tiada Gangguan Nyata Pada Paip Gas – KP Selangor

PETALING JAYA: Tiada sebarang gangguan nyata berlaku pada paip gas bawah tanah yang meletup di Putra Heights pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan siasatan dijalankan pihaknya dengan menggali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.

“Paip kumbahan itu berada pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada. Kerja mengorek oleh kontraktor ini tidak melebihi tiga meter sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.

“Kerja-kerja korekan dan pemasangan ini dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi. Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.

“Kerja-kerja galian dilakukan dengan tiga ekskavator, satu bulldozer (jentera pengorek) dan sebuah backhoe ini sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip PETRONAS yang dipercayai berada di kedalaman antara enam dan tujuh meter.

“Pihak polis dapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter. Keadaaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan yang nyata,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Pos Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Katanya, siasatan masih dijalankan secara menyeluruh dan belum dapat disahkan sama ada kerja-kerja korekan itu mengganggu atau mencetuskan kebakaran pada saluran paip gas berkenaan.

“Kerja-kerja ini dipantau secara bersama oleh polis, Petronas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor dan pihak kontraktor,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat