SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan negeri merancang membangunkan hab penternakan babi berskala besar adalah tidak tepat dan bersifat keterlaluan.
Menurut beliau, beberapa laporan yang tular telah memberi gambaran negatif terhadap usaha kerajaan negeri sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Katanya, objektif sebenar inisiatif itu adalah untuk mengurangkan jumlah ladang penternakan yang bertaburan dan menyatukan operasi di satu kawasan yang lebih tersusun serta terkawal dari aspek kebersihan dan keselamatan.
“Isu ini telah disalah tafsir. Kita bukan mahu memperluaskan penternakan, sebaliknya menyusun semula supaya lebih terurus dan mematuhi garis panduan,” katanya dipetik Berita Harian.
Amirudin turut menafikan dakwaan bahawa Selangor berhasrat mengeksport daging babi, sambil menegaskan keutamaan kerajaan negeri adalah memenuhi keperluan tempatan secara terkawal.
Beliau berkata, populasi ternakan babi di negeri itu telah dikurangkan daripada kira-kira 250,000 ekor kepada sekitar 100,000 ekor ketika ini, yang hanya mampu menampung kira-kira 30 peratus keperluan penggunaan.
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan satu kajian bagi mengenal pasti tahap penggunaan sebenar supaya sebarang keputusan dapat dibuat secara berfakta dan berasaskan data,” katanya.
Baca juga:








