Tiada had pembelian minyak masak paket bersubsidi seisi rumah – Menteri

PARLIMEN | Kerajaan Madani tidak menguatkuasakan had pembelian minyak masak paket bersubsidi mengikut isi rumah, sebaliknya menetapkan had maksimum bagi setiap transaksi bagi memastikan keperluan rakyat terus terjamin, khususnya golongan warga emas dan miskin di luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pengiraan agihan minyak masak bersubsidi adalah berdasarkan penggunaan sebanyak 1.5 kilogram per kapita, dan bukannya mengikut bilangan isi rumah.

Beliau menjelaskan, had yang ditetapkan ketika ini hanyalah bagi setiap transaksi pembelian, dan tidak mengehadkan jumlah keseluruhan yang boleh diperoleh oleh sesebuah isi rumah.

“Sekiranya sesebuah isi rumah memerlukan jumlah tambahan, mereka boleh membuat pembelian berasingan melalui ahli keluarga lain seperti anak, isteri atau ibu bapa,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang isu keciciran bantuan, terutama melibatkan golongan yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet di kawasan luar bandar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Armizan menegaskan, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan pengagihan minyak masak bersubsidi bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan bantuan sampai kepada kumpulan sasar.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat