Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli, secara tegas menolak cadangan pilihan raya kilat yang disuarakan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Razali Idris.
Menurutnya, tiada istilah ‘pilihan raya kilat’ dalam undang-undang dan Perlembagaan negara, malah beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai sekadar memenuhi ‘selera politik’ Bersatu tanpa memikirkan kestabilan negara.
“Kerajaan ini adalah kerajaan yang sah, dan Perdana Menteri juga telah diperakui oleh Yang di-Pertuan Agong serta diuji dalam parlimen,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Selasa.
Menurutnya lagi, walaupun terdapat kritikan terhadap beberapa dasar kerajaan, ia tidak mencapai tahap krisis politik yang memerlukan pilihan raya diadakan semula.
Adam turut menekankan bahawa fokus kerajaan sekarang adalah untuk membina semula negara dan menjaga kebajikan rakyat, bukannya melayan desakan politik yang tidak berasas.
“Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) lebih suka mengheret negara ke dalam kancah politik kucar-kacir, seperti yang mereka lakukan semasa Langkah Sheraton,” tegasnya.
Teguran tersebut menunjukkan bahawa beliau menganggap tindakan Bersatu lebih kepada percaturan politik semata-mata, tanpa mengambil kira kestabilan dan keperluan sebenar negara.
Terdahulu, Razali mencabar Anwar agar membubarkan Parlimen segera untuk memberi laluan kepada pilihan raya kilat sebagai jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini, bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat.