Tiada Jenazah, Karnival Dalam Masjid, MPP UPM Perjelas Isu Tular

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) menzahirkan kekesalan terhadap penyebaran maklumat yang didakwa berbentuk tuduhan dan fitnah.

Ia susulan tularnya sebuah video yang mendakwa Masjid UPM dijadikan lokasi karnival permainan video Mobile Legends serta kononnya terdapat dua jenazah sedia untuk disolatkan ketika program itu berlangsung.

Dalam satu kenyataan rasmi di laman Facebook, Yang Dipertua MPP UPM, Umar Akhtar Ab Malek berkata, dakwaan tersebut tidak benar dan menimbulkan kekeliruan, sekali gus memberi kesan negatif terhadap pengurusan masjid serta Pusat Islam universiti berkenaan.

Menurut beliau, insiden itu bukan sahaja menjejaskan reputasi masjid, malah turut mencalar imej universiti secara keseluruhan.

MPP UPM menjelaskan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai salah faham yang berlaku berkaitan sebuah program pelajar yang dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UPM.

Menurutnya, program tersebut pada asalnya dijadualkan berlangsung di Bilik Smart Classroom, Masjid UPM, namun terpaksa dipindahkan disebabkan kekangan ruang ketika aktiviti dijalankan.

“Berdasarkan maklumat rasmi, pihak penganjur diberi arahan awal bahawa penggunaan ruang solat adalah tidak dibenarkan dan hanya bilik Smart Classroom boleh digunakan.

“Namun, disebabkan kekangan ruang semasa aktiviti berlangsung, lokasi dipindahkan ke kawasan luar bilik itu.

“Penting untuk saya nyatakan tiada sebarang jenazah berada di kawasan itu sewaktu aktiviti berlangsung.

“Jenazah yang dimaksudkan hanya tiba setelah aktiviti dihentikan serta-merta bagi menghormati situasi tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada sebuah video tular di media sosial yang mendakwa Masjid UPM dijadikan lokasi berlangsungnya karnival Mobile Legends selain menyebut adanya dua jenazah yang sedia untuk disolatkan ketika permainan itu dijalankan.

Mengulas lanjut, Umar mengakui bahawa pihak penganjur tetap bertanggungjawab atas pelanggaran garis panduan yang ditetapkan.

Beliau turut menyeru semua pihak penganjur program kampus terutamanya yang melibatkan lokasi sensitif seperti masjid, agar sentiasa mematuhi prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa universiti.

“Saya juga ingin mengingatkan seluruh warga UPM serta masyarakat luar agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang kandungan ke media sosial.

“Pastikan setiap perkongsian adalah berdasarkan fakta yang sahih dan bukan bersifat tuduhan atau spekulasi yang boleh mengundang fitnah serta mencemarkan nama baik institusi.

“Siasatan serta pengesahan maklumat seharusnya dilakukan terlebih dahulu bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat,” katanya.

Sebagai wakil pelajar, Umar menegaskan komitmen pihaknya untuk terus peka dan bertanggungjawab dalam memantau serta menyokong inisiatif pelajar di dalam dan luar kampus.

“MPP UPM komited untuk memastikan keharmonian, profesionalisme dan nama baik UPM sentiasa terpelihara,” katanya.

Anda Mungkin Berminat