GREECE: Tiada kapal menarik diri daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF), tegas Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman.
Menurut beliau, kekeliruan timbul susulan laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein, berhubung beberapa kapten bersama pembantunya didakwa menarik diri.
“Tak ada kapal GSF tarik diri. Cuma ada yang tak dapat berlayar kerana rosak disabotaj. Indonesia pula tarik diri untuk beri ruang kepada delegasi lain sejak di Tunisia lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Jumaat malam.
Katanya, rombakan dilakukan bagi memastikan pelayaran berjalan lancar tanpa menjejaskan misi kemanusiaan itu.
Setakat jam 12 tengah hari semalam (waktu Laut Mediterranean), flotila berkenaan sudah tiba di selatan perairan Greece dengan hampir 30 bot.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan itu dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini, disertai wakil antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia menyertai misi di bawah panji Sumud Nusantara yang diterajui Muhammad Nadir sendiri.
Baca juga:








