JOHOR BAHRU: Suasana Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) pagi ini mencetus tanda tanya apabila kerusi Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, kelihatan kosong semasa sesi perbahasan perwakilan, pagi ini.
Ketiadaan beliau, bersama Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, menimbulkan spekulasi dalam kalangan hadirin mengenai kemungkinan kaitannya dengan keputusan pemilihan parti yang diumumkan malam tadi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba pagi ini bagi mendengar sesi perbahasan pada hari terakhir kongres yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Dalam keputusan pemilihan yang diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, malam tadi, Nurul Izzah Anwar secara rasmi telah mengungguli jawatan Timbalan Presiden PKR.
Beliau memperoleh 9,803 undi mengatasi penyandangnya, Rafizi, yang mendapat hanya 3,866 undi.