Tiada kelulusan, tiada pembinaan: Wilayah Persekutuan perketat rumah ibadat bukan Islam

KUALA LUMPUR: Sebarang pembinaan baharu atau pembesaran rumah ibadat bukan Islam di Wilayah Persekutuan di atas tanah kerajaan tidak lagi dibenarkan tanpa kelulusan terlebih dahulu, berkuat kuasa serta-merta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, mana-mana pelanggaran terhadap arahan itu akan dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, langkah tersebut mencerminkan pendekatan lebih tegas kerajaan dalam mengawal selia pembinaan struktur keagamaan, khususnya bagi menangani isu pembinaan tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan.

“Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berhati-hati dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat dalam konteks negara berbilang kaum dan agama,” katanya.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang meneliti isu berlarutan berkaitan kewujudan struktur tidak sah.

Yeoh memaklumkan, setakat ini sebanyak 163 rumah ibadat bukan Islam telah dikenal pasti dibina di atas tanah kerajaan melalui pemetaan yang dijalankan mengikut kawasan Parlimen.

Bagi memperkemas pengurusan, 11 jawatankuasa kecil akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh ahli Parlimen di kawasan masing-masing bagi mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan termasuk Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST).

Dalam masa sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperincikan garis panduan bagi memastikan pengurusan rumah ibadat bukan Islam lebih terselaras di seluruh negara.

Sementara itu di Selangor, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKKD) bagi menangani isu pencerobohan tanah termasuk pembinaan rumah ibadat secara tidak sah.

Menurutnya, pendekatan tersebut memberi ruang penyelesaian tanpa konflik, dengan mengutamakan tindakan pentadbiran berbanding proses mahkamah.

“Apabila berlaku pencerobohan, JKKD akan diaktifkan bagi membolehkan struktur ditanggalkan dan tanah dikembalikan kepada pemilik tanpa membebankan mereka dengan kos guaman,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat