Tiada keperluan draf MoU baru, hormati keputusan pembangkang

Oleh: Hanim Nadia

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sekali lagi menegaskan beliau menghormati keputusan Perikatan Nasional (PN) menolak draf cadangan memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang.

Malah, jelasnya, tiada keperluan mewujudkan draf MoU baharu kerana dokumen sedia ada adalah asas kepada perbincangan antara kedua-dua pihak.

“Draf itu adalah asas untuk kita berbincang, mereka kena kemukakan maklum balas tapi mereka sudah buat kenyataan menolak draf itu. Kita terima tolakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu penolakan draf MoU itu selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Keselamatan Sosial Antarabangsa 2024 (SSMiC 2024) di Hotel Riverside Majestic, Kuching pada Khamis.

Justeru, katanya, jika PN masih mahu meneruskan perbincangan, mereka perlu memberi maklum balas secara rasmi berdasarkan draf MoU berkenaan, bukannya menerusi kenyataan kepada media.

Terdahulu, PN tetap dengan pendirian semua yang terkandung di dalam draf MoU sedia ada tidak boleh diterima pembangkang melainkan perbincangan dibuat untuk mewujudkan draf baharu dengan perbincangan dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Anda Mungkin Berminat