PETALING JAYA: Kerajaan menegaskan Malaysia tidak pernah berkompromi terhadap standard halal negara meskipun menjalin perjanjian perdagangan antarabangsa, termasuk dengan Amerika Syarikat (AS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, segala dakwaan kononnya Malaysia melonggarkan syarat halal adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi sistem pensijilan halal negara yang diiktiraf dunia.
“Setiap badan pensijilan halal luar negara tetap tertakluk kepada syariah dan standard halal Malaysia. Semua proses audit, pemantauan serta pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan JAKIM,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, pengiktirafan terhadap badan pensijilan luar hanya untuk mempercepatkan urusan pentadbiran tanpa menjejaskan ketegasan Malaysia dalam memastikan pematuhan syariah, kebersihan dan keselamatan makanan.
Menurutnya, semua loji sembelihan di luar negara yang mengeksport daging ke Malaysia perlu melalui audit ketat mengikut ‘Malaysian Standard’ dan ‘Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production’ dengan kehadiran pegawai syariah yang diiktiraf JAKIM.
“Tiada kelonggaran diberi. Setiap laporan audit mesti diperakukan oleh jawatankuasa khas dilantik JAKIM sebelum kelulusan diberikan,” tegasnya.
Mohd Na’im turut menjelaskan bahawa perjanjian antarabangsa Malaysia tertakluk kepada undang-undang domestik mengikut prinsip ‘dualist system’, sekali gus memastikan kedaulatan dan piawaian halal negara tidak tergugat.
Beliau menegaskan, sistem pensijilan halal Malaysia kekal menjadi penanda aras global dan diterima meluas di negara Islam serta bukan Islam, hasil ketegasan kerajaan dalam mempertahankan integriti serta kedaulatan standard halal negara.
Baca juga:








