PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dalam menangani kes salah laku seksual melibatkan pelajar dan menuntut agar tindakan tegas dikenakan terhadap pesalah.
Kenyataan itu hadir susulan insiden mengejutkan di sebuah sekolah menengah di Melaka, melibatkan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang didakwa menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh beberapa pelajar senior.
Dalam kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook beliau pada Sabtu, Fadhlina menyatakan bahawa KPM memandang serius kes tersebut dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Kes ini sedang diambil tindakan oleh pihak polis.
“Semua suspek telah ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
Difahamkan, empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Dalam nada tegas, KPM berkata, tiada ruang untuk toleransi terhadap sebarang bentuk salah laku seksual di institusi pendidikan.
“Kementerian tidak akan memberi sebarang kompromi terhadap kes salah laku seksual dan tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” tegas kenyataan itu.
KPM turut mengarahkan semua pentadbir institusi pendidikan agar mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual yang sedang digunapakai bagi memastikan keselamatan murid, guru dan seluruh warga sekolah sentiasa terpelihara.