Tiada lagi bau busuk berhampiran SK Tambun

Oleh: Hanim Nadia

IPOH: Tong sampah pasar yang terletak kurang 50 meter dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tambun telah dipindahkan ke kawasan lain selepas didakwa mengganggu tumpuan murid terutama kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menurut kenyataan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun, tindakan itu dilaksanakan bagi menjamin kebersihan dan tidak lagi mengganggu suasana pembelajaran di sekolah tersebut.

“Sebelum ini pihak Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun telah menerima aduan berkaitan masalah sampah dan bau busuk yang menghantui di kawasan sekitar SK Tambun.

“Berdasarkan aduan tersebut, bersama pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta, suatu tindakan telah pun diambil bagi menyelesaikan masalah itu.

“Tong sampah yang sebelum ini ditempatkan di kawasan belakang sekolah tersebut telah dipindahkan ke kawasan lain,” katanya di laman Facebook pada Isnin.

Ucapan penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada pihak sekolah, MBI serta Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta yang bersama-sama berganding bahu menyelesaikan permasalahan ini.

Sebelum ini media melaporkan bau sampah meloyakan dari tong sampah pasar tersebut didakwa mengganggu tumpuan murid terutama kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) SK Tambun, Amin Nur Fikry Yusof berkata, masalah itu bukan baharu malah sudah berlarutan sejak 2018.

Menurutnya, sejak lebih lima tahun itu, murid-murid PPKI terpaksa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam keadaan tidak selesa.

“Lebih memburukkan lagi keadaan, bangunan kelas mereka sering dinaiki air dan berlaku banjir kilat jika setiap kali hujan lebat. Air berbau busuk yang membawa bersama sampah akan masuk ke dalam kelas mereka,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Jelasnya, masalah tersebut sudah beberapa kali dibangkitkan oleh ibu bapa sama ada melalui mesyuarat PIBG mahupun di dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dan Telegram sekolah untuk meminta penyelesaian segera.

Sehubungan itu katanya, pihak PIBG telah memanjangkan permasalahan berkenaan kepada pihaK MBI menerusi ahli majlis, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan Pejabat Ahli Parlimen Tambun.

Anda Mungkin Berminat